Hutang lapuk dihapuskan sering menjadi persoalan bagi mereka yang pernah berhutang tetapi sudah lama tidak dihubungi oleh pihak bank.
Adakah benar hutang tersebut sudah dilupuskan? Atau masih boleh dituntut walaupun sudah bertahun tidak dibayar? Ramai rakyat Malaysia tidak sedar bahawa undang‑undang di negara ini menetapkan tempoh masa tertentu untuk pemiutang mengambil tindakan.
Jika tempoh ini luput, hutang anda mungkin dianggap ‘lapuk’. Namun, ini tidak bermaksud anda bebas sepenuhnya.
Dalam artikel ini, kami huraikan maksud sebenar hutang lapuk, syarat ia boleh dihapuskan, proses terlibat serta kesannya terhadap rekod kewangan dan kredit anda.
Maksud Hutang Lapuk Dihapuskan
Hutang lapuk merujuk kepada hutang yang tidak dibayar dalam tempoh masa tertentu sehingga tidak lagi boleh dituntut melalui saluran undang-undang.
Dalam konteks Malaysia, hutang dikira “lapuk” apabila ia melepasi tempoh had masa yang ditetapkan oleh undang-undang, iaitu 6 tahun bagi hutang tanpa cagaran dan 12 tahun bagi hutang dengan cagaran seperti pinjaman rumah atau kereta.
Walau bagaimanapun, status “lapuk” ini tidak bermaksud hutang anda telah lupus atau dibatalkan sepenuhnya. Ia hanya menandakan bahawa pemberi hutang tidak lagi boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap anda.
Mereka masih boleh menghubungi anda secara tidak rasmi atau melalui ejen kutipan untuk menuntut bayaran.
Akta Had Masa 1953 (Limitation Act 1953) ialah undang-undang yang menetapkan had masa untuk tindakan undang-undang diambil terhadap hutang. Akta ini diguna pakai untuk:
- Hutang tanpa cagaran (kad kredit, pinjaman peribadi): tempoh had masa 6 tahun dari tarikh bayaran terakhir.
- Hutang dengan cagaran (gadaian, pinjaman rumah): tempoh had masa 12 tahun.
Jika tiada sebarang bayaran atau pengakuan bertulis dibuat dalam tempoh ini, maka secara sah hutang tersebut tidak boleh lagi dibawa ke mahkamah. Namun, jika anda membuat bayaran kecil atau pengakuan, tempoh ini boleh bermula semula dari awal.
Ramai keliru antara hutang yang dihapuskan (write-off) dengan hutang yang tidak boleh dituntut secara undang-undang (time-barred). Ini dua perkara berbeza:
- Hutang dihapuskan: Institusi kewangan merekodkan hutang tersebut sebagai kerugian dalam laporan kewangan mereka. Namun, ini tidak bermaksud peminjam bebas mereka masih boleh dituntut.
- Hutang tidak boleh dituntut: Setelah tempoh had masa luput, pihak bank tidak boleh saman anda di mahkamah walaupun hutang masih wujud dalam rekod.
Oleh itu, walaupun hutang “lapuk”, anda tetap perlu berhati-hati jika bercadang membuat bayaran semula, kerana ia boleh membatalkan status “lapuk” dan membuka semula ruang tuntutan undang‑undang.
Syarat & Proses Hutang Lapuk Dihapuskan di Malaysia
Ramai orang fikir bila hutang tak dituntut dalam tempoh lama, ia akan hilang sendiri. Tapi sebenarnya, ada beberapa syarat penting sebelum sesuatu hutang boleh dianggap lapuk dan tidak boleh dituntut lagi secara sah. Jom kita fahami satu per satu.
Syarat Mengikut Undang‑undang
Pertama sekali, kita perlu rujuk kepada Akta Had Masa 1953. Berikut adalah syarat asas untuk sesuatu hutang dianggap lapuk:
- Tiada bayaran dibuat dalam tempoh tertentu 6 tahun untuk hutang tanpa cagaran (seperti kad kredit, pinjaman peribadi), dan 12 tahun untuk hutang bercagar (seperti pinjaman rumah).
- Tiada surat atau pengakuan bertulis yang mengesahkan anda masih mengiktiraf hutang itu dalam tempoh tersebut.
- Tiada tindakan undang-undang diambil oleh pemiutang sepanjang tempoh had masa itu.
Kalau ketiga-tiga syarat ini dipenuhi, maka secara asasnya hutang itu dianggap “lapuk” dan tidak boleh lagi dibawa ke mahkamah untuk dituntut secara paksa.
Langkah Semak Status Hutang Anda
Sebelum anda buat apa-apa tindakan, penting untuk tahu dulu status semasa hutang anda. Berikut langkah-langkah yang boleh anda ambil:
- Semak laporan kredit anda di CCRIS (melalui eCCRIS) atau CTOS. Periksa bila kali terakhir bayaran dibuat dan adakah akaun tersebut masih aktif.
- Kenal pasti jenis hutang anda adakah ia hutang bercagar atau tidak? Ini penting kerana tempoh had masa berbeza.
- Kira semula tempoh masa sejak pembayaran terakhir. Jika sudah melebihi 6 atau 12 tahun tanpa sebarang bayaran, anda mungkin layak dikira hutang lapuk.
- Simpan segala bukti seperti salinan penyata, surat lama, atau laporan kredit sebagai rujukan.
Langkah seterusnya adalah menghubungi institusi kewangan atau pemiutang secara bertulis dan mohon mereka sahkan:
- Adakah hutang tersebut masih aktif atau telah dihapus kira?
- Adakah mereka akan mengambil tindakan undang-undang?
- Mohon pengesahan bahawa hutang telah melepasi had masa.
Contoh mudah: “Merujuk kepada akaun no. XXXXX, saya ingin memohon pengesahan bertulis sama ada akaun ini masih aktif atau telah dihapuskan berdasarkan tempoh had masa seperti dalam Akta Had Masa 1953. Mohon maklum balas bertulis untuk rujukan saya.”
Dengan dokumen ini, anda ada bukti rasmi sekiranya pemiutang terus mengganggu atau cuba menuntut hutang secara tidak sah selepas tempoh tamat.
Kesan Hutang Lapuk Kepada CCRIS, CTOS & Skor Kredit
Ramai orang beranggapan bahawa bila hutang sudah dianggap lapuk, nama mereka akan terus ‘bersih’ daripada sebarang rekod kredit. Malangnya, itu tidak semestinya berlaku.
Walaupun secara undang-undang hutang tersebut tidak boleh dituntut lagi, kesannya terhadap laporan kredit anda masih boleh dirasai, terutamanya jika anda bercadang untuk membuat pinjaman baru.
Jawapannya: tidak semestinya. Laporan kredit seperti CCRIS dan CTOS tidak akan serta-merta membuang rekod hutang lama, walaupun hutang itu telah lapuk mengikut undang-undang.
Contohnya, dalam CCRIS, sejarah pembayaran anda dalam tempoh 12 bulan terakhir akan terus dipaparkan. Jika tiada bayaran dibuat, maka akan muncul status tertunggak dan ini boleh mencemarkan imej kewangan anda di mata bank.
Begitu juga dalam CTOS, rekod hutang yang dihapuskan oleh bank (write-off) atau disenarai sebagai “akaun perhatian khas” akan tetap kelihatan dalam laporan. Ini akan menimbulkan keraguan kepada pemberi pinjaman baru, walaupun secara teknikal hutang itu tidak boleh dituntut lagi.
Bila anda mohon pinjaman baru sama ada kad kredit, pinjaman peribadi, atau pembiayaan rumah pihak bank akan semak laporan kredit anda. Sekiranya ada rekod negatif, seperti akaun lama yang tidak dibayar, ia boleh menjejaskan:
- Skor kredit anda
- Kebarangkalian kelulusan permohonan
- Kadar faedah yang dikenakan (mungkin lebih tinggi)
Walaupun hutang lama tidak lagi sah untuk dituntut di mahkamah, reputasi kewangan anda tetap ‘terpalit’ dengan sejarah silam itu. Ini penting untuk difahami kerana ramai peminjam kecewa apabila permohonan mereka ditolak walaupun hutang mereka sudah lama tidak diaktifkan.
Kalau anda mahu bina semula reputasi kewangan, ini beberapa langkah yang boleh anda ambil:
- Bayar semua komitmen semasa tepat pada masanya ini akan membantu membina semula rekod pembayaran yang baik.
- Kurangkan jumlah pinjaman aktif, terutamanya kad kredit dengan baki tinggi.
- Pantau laporan kredit anda secara berkala pastikan tiada rekod silap atau hutang yang sepatutnya sudah ditutup masih aktif.
- Jika mampu, runding dengan pemiutang untuk hapuskan rekod atau beri status “settled” secara rasmi.
Langkah-langkah ini mungkin ambil masa, tapi ia penting untuk masa depan kewangan anda, terutamanya jika anda bercadang membeli rumah, kereta atau memohon pembiayaan dalam masa terdekat.
Alternatif Jika Tidak Layak Hapus Hutang Lapuk
Tidak semua orang layak untuk mengklasifikasikan hutang mereka sebagai lapuk. Mungkin anda masih dalam tempoh had masa, atau pernah membuat bayaran kecil beberapa tahun lepas tanpa sedar.
Jangan risau, masih ada beberapa pilihan yang boleh membantu anda keluar daripada belenggu hutang dengan cara yang sah dan terkawal.
Jika anda masih dalam tempoh bayaran dan tidak mampu bayar seperti biasa, langkah pertama yang boleh dicuba ialah runding semula dengan pihak bank atau pemiutang. Kebanyakan institusi kewangan terbuka untuk:
- Menurunkan kadar faedah
- Memanjangkan tempoh bayaran balik
- Menukar struktur bayaran supaya lebih ringan
Yang penting, anda perlu jujur tentang kemampuan anda dan kemukakan dokumen sokongan seperti slip gaji atau surat pengesahan pendapatan.
Penyatuan hutang ialah strategi kewangan di mana anda menggabungkan beberapa hutang kepada satu pinjaman baru yang lebih mudah diurus. Contohnya, anda gabungkan hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman koperasi kepada satu pinjaman yang baru dengan kadar faedah lebih rendah.
Kelebihan kaedah ini ialah:
- Bayaran bulanan lebih rendah
- Hanya satu komitmen untuk diurus
- Boleh bantu anda perbaiki rekod bayaran dalam jangka masa panjang
Namun pastikan anda tidak menambah hutang baru selepas penyatuan, kerana itu akan memburukkan keadaan semula.
Jika anda benar-benar buntu dan tidak tahu di mana nak mula, pertimbangkan untuk dapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Mereka menawarkan:
- Kaunseling kewangan percuma
- Pelan pengurusan hutang (DMP) yang dibincang bersama bank
- Latihan celik kewangan untuk bantu anda kawal kewangan masa depan
Selain itu, ada juga syarikat pihak ketiga yang sah dan berlesen (bukan ah long) yang boleh bantu anda runding dengan bank dan uruskan penyusunan semula hutang. Tapi pastikan syarikat itu berdaftar dengan KPKT atau Bank Negara.
Penutup
Hutang lapuk dihapuskan bukan bermaksud anda bebas sepenuhnya daripada semua tanggungjawab kewangan. Ia hanya merujuk kepada situasi di mana tindakan undang-undang terhadap hutang tertentu tidak lagi boleh diambil selepas tempoh had masa berlalu.
Walaupun begitu, kesannya terhadap rekod kredit anda masih boleh dirasai dan memberi impak kepada permohonan kewangan di masa hadapan.
Justeru, penting untuk anda faham status sebenar hutang anda, ketahui hak anda di sisi undang-undang, dan ambil langkah proaktif untuk mengurus hutang sama ada melalui rundingan, penjadualan semula, atau bantuan agensi profesional seperti AKPK.
Kalau anda sedang bergelut dengan hutang lama atau tidak pasti tentang rekod kredit anda, ambillah masa untuk semak laporan CCRIS atau CTOS dan pertimbangkan tindakan yang sesuai. Lebih cepat anda bertindak, lebih baik masa depan kewangan anda.
Bantu kami share artikel ini: